Monday, July 23, 2018

AHAD

Pernahkah anda berfikir, bagaimanakah anda menggunakan masa hari Ahad dengan baik dan berkesan? Pernahkah anda menyesal kerana tidak menggunakan masa hari Ahad dengan baik disebabkan anda melakukan perkara yang sia-sia? 

Pernah. Siapa tak pernah? 

Sehari mempunyai 24 jam. Sekelip mata sahaja masa berlalu. Ada orang suka tidur sepanjang hari kerana pada hari biasa dah bekerja bersungguh-sungguh. Ada orang suka menghadapi telefon pintar sahaja untuk sepanjang hari dan menunggu masa berlalu. Ada orang yang duduk di rumah membuat kerja sekolah atau kerja mereka yang belum disiapkan di tempat kerja mereka.

Pada pendapat saya, hari Ahad merupakan hari emas. Hari Ahad ialah hari yang berehat sepuas-puasnya, mendekati Tuhan dan mendekati alam sekitar. Apa kata kalau kita menggunakan hari Ahad dengan penuh bermakna? Sesuatu kebaikan akan datang ke kehidupan anda setelah anda melakukan sesuatu kerja atau aktiviti yang berfaedah dan bermakna.

Hari Ahad juga merupakan hari yang tenang bagi saya. Saya dapat bertenang minda untuk mengelakkan berfikiran banyak dan menyebabkan saya kemurungan. Saya boleh membawa diri saya mendekati dengan alam semula jadi di persekitaran saya. Saya dapat menghayati ciptaan Tuhan dan mengalami keajaibannya. Saya dapat merasakan bahawa, saya bukan berseorangan, kehidupan yang aman dan tenang.

Wahai kawan-kawan, janganlah terlalu sibuk dengan perkara yang tidak berfaedah pada hari Ahad. Cuba anda memberhentikan langkah anda dan singgah sekejap, anda akan perasan sebenarnya kehidupan yang ringkas merupakan satu kebahagiaan. Saya faham, setiap orang mempunyai makna yang berbeza untuk hari rehat mereka. Setiap orang mempunyai pilihan mereka sendiri untuk menghabiskan hari Ahad mereka. But, you should use your Sunday time wisely.

Langkah-Langkah Pengurusan Masa yang Cekap dan Baik / Examples of Good Time Organization


Pengurusan masa yang cekap dan baik memerlukan langkah-langkah yang bijak. Antara caranya adalah dengan mengurangkan masa terluang (reduce time wasting). Untuk mengurangkan masa terluang, seseorang individu perlu merancangkan satu jadual waktu seharian. Perancangan jadual aktiviti harian adalah penting kerana kehidupan kita menuntut kita meluangkan masa untuk bersama diri sendiri, keluarga dan Tuhan. Pengurusan masa yang berjaya bermaknanya berjaya menguruskan kehidupan seseorang itu dan mengurangkan masa terluang pada aktiviti yang tidak bermakna. Seseorang individu boleh memulakan kerja yang terpenting pada awal pagi dalam perancangan jadual harian supaya seseorang itu mempunyai masa terluang untuk aktiviti yang sihat dan bermakna.
            Langkah yang kedua adalah dengan menyediakan log peribadi (prepare a personal time-log). Penyediaan log peribadi merupakan satu pengurusan masa yang baik untuk seseorang individu juga. Caranya adalah dengan menyediakan sama seperti diari untuk diri sendiri. Log peribadi adalah lebih kepada pengaturan jadual waktu seminggu yang dapat menggambarkan kehidupan seminggu itu. Contohnya dengan penyediaan buku nota dan pensil, seseorang individu boleh mencatatkan perkara-perkara yang telah dilakukan atau telah berlaku supaya dapat dilihat dan membuat imbas kembali. Jika mendapati kekurangan, seseorang itu dapat memperbaiki dan membuat perancangan dengan lebih baik supaya dapat mengurus masa dengan lebih cekap dan bijak. Maka, log peribadi juga merupakan satu cara untuk membantu seseorang individu untuk mengurus masa dengan lebih baik.
            Langkah yang ketiga adalah dengan menyediakan pelan tindakan (prepare an action plan). Pelan tindakan menjadi landasan untuk organisasi bergerak. Seseorang individu akan mengetahui tentang perkara yang patut disumbangkan untuk mencapai matlamatnya. Selain itu, pelan tindakan juga dijadikan sebagai rujukan untuk membentuk langkah-langkah pembetulan jika terdapat pelan pelaksanaan yang didapati kesalahan. Di samping itu, pelan tindakan juga dapat membantu seseorang individu mengenal pasti peluang dan persaingan dalam pasaran supaya dapat meningkatkan kemampuan diri sendiri. Maka, penyediaan pelan tindakan adalah dapat membantu pengurusan masa yang cekap dan bijak untuk seseorang itu.



KV MIRI
CIKGU SIEW
24 JULAI 2018

Kepentingan dan Kebaikan Untuk Mengorganisasi Masa (Explain The Importance And Benefits Of Good Time Organization)


Pengorganisasian masa sangat penting untuk seseorang individu supaya masa tidak akan dibazirkan dengan melakukan perkara yang yang sia-sia.
            Antara kepentingannya adalah dapat mendisplinkan seseorang individu. Seseorang individu boleh mendisplinkan diri sendiri denagn menyenaraikan kerja yang boleh dilakukan pada masa yang tertentu. Dengan itu, seseorang itu akan mengetahui kerja yang perlu dilakukan pada masa dan tidak akan membazirkan masanya dengan melakukan aktiviti yang tidak bermakna. Bukan itu sahaja, senarai kerja yang ditetapkan pada masa juga akan mendisplinkan seseorang kerana dia melakukan kerja atau aktiviti yang bermakna malah tidak akan berasa bosan dan berlepak di mana-mana untuk membazirkan masanya.
            Seterusnya, pengurusan masa yang baik juga dapat membantu seseorang individu untuk mengatur dan menyusun kerjanya dengan cekap. Sekiranya seseorang individu cekap dan bijak dalam pengurusan masa, maka dia juga mahir dalam menyusun fail-fail, dokumen, barangan alat tulis dan sebagainya. Hal ini demikian kerana seseorang individu ingin meminimumkan masa untuk mencarikan benda-benda yang kurang penting. Bukan itu saja, kerja-kerja yang disiapkan akan disusun dengan teratur dan mudah didapati sekiranya diminta daripada pihak atasan. Maka, kesan baik ini ialah kebaikannya yang dihasilkan daripada pengurusan masa yang cekap.
            Di samping itu, pengurusan masa yang baik penting terhadap seseorang individu supaya dapat mewujudkan sifat yang positif terhadap diri seseorang itu. Sifat positif adalah seperti bertanggungjawab, berfikiran terbuka dan menepati masa. Seseorang yang dapat menguruskan masa dengan baik, maka dia akan melaksanakan kerjanya dengan penuh tanggungjawab dan menyiapkan kerjanya pada tepat masa. Bukan itu sahaja, pengurusan masa baik dapat mengelakkan seseorang individu mengalami tekanan kerja kerana dia telah membuat rancangan yang teratur. Oleh itu, pengurusan masa baik dan cekap adalah pentingnya dan mendatangkan kebaikan yang banyak.
            Selain itu, kepentingan dan kebaikan pengurusan masa yang baik adalah dapat menghasilkan kerja yang berproduktiviti tinggi dan berkualiti tinggi. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu seseorang individu untuk menyiapkan kerja pada masa yang ditetapkan. Hal ini demikian kerana pengurusan masa dapat mengingatkan seseorang individu untuk menyiapkan kerjanya. Oleh itu, seseorang individu tidak akan bergegas untuk menyiapkan kerja dalam masa singkat. Maka, hasil kerjanya akan menjadi berkualiti dan berproduktiviti. Seseorang yang berprofesional turut ditunjukkan melalui kerja yang dihasilkan. Tindakan ini akan menjadi teladan kepada anak bawahan sekiranya seseorang itu merupakan majikan atau pihak atasan. Secara tidak langsung, tindakan ini dapat membawa keuntungan yang besar kepada syarikat dan menjaga nama baik syarikat juga.



KV MIRI
CIKGU SIEW
24 JULAI 2018

Kepentingan Teknik Pengurusan Masa yang Bekesan.


Pengurusan masa yang berkesan adalah penting untuk menjamin kualiti hasil sesuatu kerja dan juga merupakan satu kemahiran yang profesional. Terdapat beberapa teknik pengurusan masa yang berkesan.
Antara salah satu tekniknya adalah dengan menyimpan senarai tugasan (keeping a to-do list). Bagi merancang masa yang berkesan, seseorang individu harus menyenaraikan semua kerja atau tugasan yang perlu dilakukan. Dalam senarai tugasan, seseorang individu boleh menyusun tugasannya mengikut kepentingannya supaya kerja atau tugasan tersebut dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan. Apabila seseorang individu menyimpan senarai tugasan yang disenaraikan, maka mereka tidak akan melupakannya dan lebih menfokuskan masa serta tenaga pada aktiviti yang bernilai tinggi, malah juga membantu seseorang itu menguruskan masa dengan efektif. Maka, tugasan yang dihasilkan adalah berkualiti dan produktiviti justeru juga menunjukkan kemahiran profesional pada diri seseorang individu juga.
Teknik pengurusan masa berkesan yang kedua adalah dengan menetapkan matlamat yang realistik dan boleh dicapai (setting realistic and achievable goals). Seseorang individu harus menetapkan satu matlamat yang jelas dan realistik supaya mudah dicapai untuk berjaya. Maknanya, seseorang individu perlu menetapkan matlmatnya mengikut kebolehan dan kemampuannya. Apabila menetapkan matlamat yang mudah dicapai, seseorang individu dapat mengenal pasti peluang dan sumber-sumber yang boleh membantunya berjaya. Contohnya, pengurus pemasaran yang berprofesional akan sentiasa menanyakan kepada diri sendiri sama ada dia mempunyai kemahiran dan kemampuan yang secukupnya untuk membangunkan sasaran jualan produknya dan mencapai target tersebut. Maka, matlamat realistik dan boleh dicapai menunjukkan pengurusan masa yang berkesan.
Selain itu, mengutamakan tugasan mengikut kepentingannya (prioritizing task according to its importance) juga merupakan teknik pengurusan masa yang berkesan. Seseorang individu melaksanakan kerja yang paling penting akan menggerakkan kerja lebih dekat dengan matlamat jangka panjang. Selain itu, mengutamakan kerja yang penting dapat membantu seseorang individu mengenal pasti kerja tersebut dan memberi perhatian, tenaga dan masa yang lebih banyak. Hal ini juga dapat membantu seseorang individu untuk menghabiskan masa yang lebih banyak pada perkara yang betul. Oleh itu, prioritisasi dapat membantu untuk merancang dan mengurus masa dengan lebih cekap.
Teknik seterusnya adalah dengan membahagikan tugasan (Breaking down task). Pembahagian tugasan adalah penting dalam pengurusan masa yang cekap supaya seseorang individu dapat menyiapkan tugasan satu demi satu. Hasil tugasan itu juga akan menjadi berkualiti dan berinovasi tinggi. Bukan itu sahaja, pembahagian tugasan dengan cekap dapat mengelakkan seseorang individu berasa stres kerana masa yang dibahagikan adalah secukupnya dan juga menggunakan masa pada tugasan yang bernilai tinggi. Maka, seseorang individu yang profesional semestinya dapat melaksanakan tugasan dengan berjaya kerana cekap dalam pengurusan masanya.

KV MIRI
CIKGU SIEW
24 JULAI 2018

Monday, July 16, 2018

Kemahiran Utama dalam Menyampaikan Tugasan dengan Cekap


Profesional seseorang dapat dilihat dari segi kecekapan seseorang individu dalam menyampaikan sesuatu tugasan. Bagi menyampaikan atau mengagihkan tugasan dengan efektif, beberapa cara-caranya untuk mempraktikkan kemahirannya.
            Yang pertama, aksi pencegahan (preventive action). Seseorang individu perlu bertindak segera terhadap permasalahan yang telah berlaku. Contohnya, seseorang majikan di salah sebuah agensi pelancongan mendapati salah seorang pekerja kurang berkemahiran di kaunter pertanyaan hadapan yang gagal memberi informasi yang tepat kepada pelancong. Maka, majikan tersebut mengambil tindakan segera dengan menghantar pekerjanya menjalani latihan dan pembangunan supaya dapat memperbaiki profesionalnya.
            Yang kedua, perancangan dan organisasi yang berkesan (effective planning and organizing). Seseorang individu yang berprofesional akan membuat rancangan yang baik mengikut visi dan misi syarikat. Rancangan yang baik akan memberi kesan yang positif kepada hasil dan memberi keuntungan yang maksimun kepada syarikat jikalau kerja yang dilaksanakan efektif dan efisien. Contohnya, seorang pengurus pemasaran perlu merancang strategi-strategi yang berkesan apabila memasarkan produk yang baru dikeluarkan supaya dapat memperoleh sambutan yang hangat dalam kalangan target pelanggan mereka. Maka, perancangan tersebut bukan sahaja mendapatkan keuntungan maksimun kepada syarikat malah juga mencapai misi dan visi syarikat tersebut.
Yang ketiga, tindakan pembaikkan (corrective action). Tindakan pembaikkan ini adalah dengan membuat pembaikkan atau baik pulih terhadap masalah yang tercetus. Segala kekurangan yang berlaku, seseorang individu perlu menerima dan membuat perubahan atau pembetulan. Contohnya, peneguran atau memberi nasihat apabila pekerja tidak melaksanakan kerja dengan betul supaya pekerja itu dapat memperbaiki kelemahannya.
Yang keempat, berinovasi (innovation). Apabila seorang individu melaksanakan sesuatu kerja, dia perlu mempunyai fikiran luar kotak supaya dapat menyiapkan kerja dengan cekap dan berkesan. Seseorang yang mempunyai fikiran luar kotak juga merupakan seorang yang berkreativiti. Maka, kerja yang dihasilkan juga kreatif yang dapat menarik minat dan tidak membosankan. Malahan, seseorang itu juga mampu melaksanakan kerja dengan cara yang paling mudah dan cepat.
Yang kelima, kemahiran kepimpinan (leadership skills). Kemahiran kepimpinan sangat penting kepada ketua kumpulan atau pengurus syarikat kerana pemimpin ialah seorang ketua yang dapat membawa pekerja-pekerja bawahan bekerja dalam suasana yang harmoni di samping juga dapat mencapai misi dan visi syarikat. Pemimpin yang profesional akan memotivasikan pekerjanya untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dan memberikan hasil kerja yang berkesan.
Yang keenam, kemahiran berkomunikasi (interpersonal skills). Penyampaian tugasan yang cekap memerlukan kemahiran komunikasi yang berkesan. Jika penyampaian maklumat berkeliruan, maka tugasan yang disampaikan adalah kurang jelas dan hasilannya tidak akan mencapai kualitinya. Kemahiran berkomunikasi yang berkesan merupakan satu kemahiran yang perlu dipelajari untuk menyampaikan maklumat dengan cekap dan efisien. Contohnya, kemahiran komunikasi amat penting untuk seorang majikan supaya dapat membahagikan dan menyampaikan tugasan kepada pekerja dengan berkesan.

KV MIRI
CIKGU SIEW
16 JULAI 2016

PERBEZAAN INDIVIDU / INDIVIDUAL DIFFERENCES



Definisi
Keunikan dan ketidaksamaan yang wujud antara manusia yang berlainan. Perbezaan individu juga dapat ditakrifkan sebagai variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan sama ada dari segi fizikal, mental, emosi dan sosial dalam kalangan seseorang individu.
S.A Alsagoff: "Ketidaksamaan atau ketidakserupaan dalam kalangan ahli sesuatu kumpulan daripada segi ciri-ciri yang telah dikenalpasti."
A. Majid (1997): "Ciri-ciri pola tingkah laku atau cara pemikiran yang membezakan seseorang individu dengan yang lain

Aspek-aspek perbezaan individu
Papalia (2001), manusia berbeza dari segi jantina, berat, bentuk badan, kesihatan tahap tenaga personaliti dan emosi. Faktor persekitaran pula seperti gaya hidup keluarga, sosioekonomi keluarga, sekitar sekolah dan di rumah, komuniti masyarakat.
Slavin (1997), mengaitkan perbezaan individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina, bakat dan minat.
            Aspek kognitif ialah kebolehan individu menyelesaikan masalah, berbahasa, berfikir secara logik, menaakul dan mengira.
            Aspek fizikal ialah perbezaan dari segi paras rupa, berat, ketinggian, jantina dan rambut.
            Aspek sosial ialah aspek personaliti yang melambangkan ciri-ciri keperibadian seseorang iaitu gaya bercakap, tingkah laku, gaya berfikir, gaya bertindak dan gaya bekerja. Sifat personaliti juga dibahagikan kepada introvert atau ekstrovet yang merupakan dua kemahiran berkomunikasi.
Aspek emosi ialah kebolehan individu untuk mengenali, mengawal, dan mengurus perasaan serta sabar dan toleransi terhadap orang lain.
Aspek kecerdasan boleh didefinisikan sebagai kebolehan mendapat pengetahuan untuk menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di dunia ini.
Aspek bahasa mempengaruhi perbezaan individu kerana dalam Malaysia merupakan negara yang pelbagai kaum, etnik dan bangsa. Maka bahasa yang digunakan adalah berbeza juga bergantung kepada individu.
Aspek gaya hidup keluarga ialah cara dan budaya kehidupan dalam sesebuah keluarga. Individu yang berasal dari keluarga yang berpecah-belah, maka individu itu mempunyai masalah sosial dan personaliti dan sebaliknya.
Dalam aspek bakat dan minat, setiap individu adalah berbeza. Maka perbezaan individu boleh dilihat daripada aspek tersebut.

KV MIRI
CIKGU SIEW
16 JULAI 2018

DIMENSI UTAMA KESEDARAN DIR


          Dimensi utama kesedaran diri yang pertama ialah kesedaran tentang fikiran dan kritikan orang lain terhadap diri sendiri. Seseorang itu perlu menyedari bahawa cara-cara perlakuannya dapat mempengaruhi orang lain. Selain itu, fikiran dan pandangan orang lain terhadap seseorang itu amat penting. Kebiasaannya, seseorang individu itu cenderung menganggap pandangan orang lain terhadap dirinya ialah gambaran dirinya. Namun demikan, pandangan dan fikiran orang lain terhadap seseorang itu adalah berdasarkan pengaruh kelakuannya terhadap orang lain. Melalui reaksi yang diberikan oleh orang lain terhadap diri seseorang itu, dia dapat melihat dan memahami diri sendiri dan membuat perubahan atau pembetulan terhadap personalitinya.
Dimensi utama kesedaran diri yang kedua ialah kesedaran terhadap fikiran dan perasaan sendiri. Seseorang itu perlu memahami dan mengetahui punca pemikiran dan emosinya sekiranya berasa tidak selesa dalam hati. Hal ini demikian kerana pemikiran dan emosi diri sendiri amat mempengaruhi kelakuan dan kerja seharian seseorang itu. Jika tidak mempunyai kesedaran diri terhadap perasaan dan emosi sendiri, maka jiwa seseorang itu akan terganggu dan terlebih berfikir. Selain itu, tanpa kesedaran diri, pemikiran seseorang itu akan menjadi negatif dan menjadikan seseorang itu stres serta tidak dapat mencari punca emosinya berlaku. Oleh itu, pentingnya kesedaran diri terhadap fikiran dan emosi sendiri supaya dapat melangkah maju dalam kehidupan.
Dimensi utama kesedaran diri yang ketiga ialah kesedaran untuk mengenali dan memahami diri sendiri. Seseorang itu senang menunjukkan personalitinya melalui tingkah laku dan emosinya. Kadang-kala tingkah laku dan bahasa yang dikatakan adalah bukan maksud diri sendiri tetapi pada fikiran orang lain adalah maksud yang lain. Maknanya, seseorang itu perlu ada kesedaran diri bahawa keserentakkan kelakuan dan bahasa yang disampaikan supaya tidak mengelirukan orang lain atau kurang selesa. Kesedaran diri ini memerlukan diri seseorang itu mengetahui identiti, personaliti, dan keperibadiannya supaya dapat menyedari niat hati yang sebenarnya dan menghasilkan suasana yang harmoni dalam pergaulan.
Dimensi kesedaran diri yang keempat ialah kesedaran tentang identiti dan cita-cita sendiri. Seseorang itu akan memahami apa-apa yang ingin dicapaikan pada masa depan dan mengetahui cara-cara untuk mencapai cita-citanya. Sekiranya seseorang itu mengetahui apa yang diinginkan pada depan, dia akan berusaha gigih tanpa berputus asa dalam arah menuju cita-citanya. Kesedaran diri biasanya kabur apabila seseorang tu dalam usia remaja. Fikiran mereka adalah senang dipengaruhi oleh orang lain dan persekitarannya. Namun, apabila seseorang itu semakin dewasa, semakin jelas fikiran dan minda dalam kesedaran dirinya justeru mengamalkan kesedaran dirinya dalam menembusi kehidupannya. Maka, kelakuan, fikiran, perasaan, cita-cita dan sifat seseorang itu akan berubah apabila mempunyai kesedaran diri yang tinggi.

KV MIRI 
CIKGU SIEW
16 JULAI 2018

Thursday, July 5, 2018

Kepentingan Kesedaran Diri


   Kesedaran diri adalah penting dalam kehidupan seharian. Salah satu kepentingannya adalah dapat membantu seseorang itu melangkah ke arah kehidupan yang lebih berjaya dan bahagia. Hal ini demikian kerana seseorang itu mempunyai kesedaran diri bahawa dia memang memahami keperibadiannya sendiri. Seseorang itu mesti mempunyai cita-cita yang ingin dicapai dan berusaha gigih untuk mencapainya. Seseorang yang ingin berjaya juga dapat melihat kekurangannya dan menerima kritikan orang lain supaya dapat mempertingkatkan kebolehan sendiri. Malah, seseorang itu dapat membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang sewajarnya.        Selain itu, kesedaran diri pada seseorang itu amat penting untuk menjamin kesejahteraan keseluruhan. Kesejahteraan keseluruhan yang dijamin dapat membantu seseorang itu memberi perhatian dengan lebih baik terhadap perkara semasa dan mengelakkan daripada berfikir banyak. Seseorang itu akan menerima persekitaran yang sedang dihadapi dan tidak menolak realiti yang pahit untuk memajukan diri. Kebiasaanya seseorang yang mempunyai kesedaran diri mempunyai kesabaran yang tinggi dan toleransi yang tinggi. Hal ini demikian kerana dia bukan sahaja memahami situasi diri sendiri, malah juga orang lain. Maka, kesedaran diri ini dapat memperluas hubungan yang baik dengan orang lain justeru menjamin kesejahteraan keseluruhan dalam kehidupannya.         Di samping itu, kesedaran diri penting pada diri seseorang dapat menjamin kesihatan mental. Seseorang yang tidak mempunyai kesedaran diri dan sifat negatif dalam kehidupannya adalah senang terjerumus dalam kemurungan yang boleh menyebabkan stres padanya. Maka, sekiranya seseorang itu stres, kemungkinan besar diri seseorang itu akan salah guna dadah dan menghancurkan masa depan. Satu kemungkinan lagi ialah stres akan menjejaskan pemakanan seharian kerana berasa resah. Maka, pengamalan kesedaran diri itu penting supaya dapat menyihatkan mental seseorang itu untuk bermaju jaya.       Bukan itu sahaja, kesedaran diri penting kerana dapat membina keyakinan diri dalam pergaulan seharian malah juga dalam melaksanakan tugasannya. Seseorang yang mempunyai keyakinan diri adalah mampu menyesuaikan diri apabila berhadapan dengan orang lain dan persekitaran. Seseorang yang berkeyakinan diri mampu menghadapi cabaran semasa dan meningkatkan kemahiran sendiri. Pergaulan seharian turut akan menjadi lebih senang dan mudah mesra dengan orang lain kerana seseorang itu mengenali dan memahami keperibadian diri.


KV MIRI 
CIKGU SIEW 
6 JULAI 2018

Maksud Kesedaran Diri



   Kesedaran diri bermaksud seseorang itu mempunyai pengetahuan tentang kesedaran, kefahaman tentang dirinya, persekitarannya dan penciptanya. Seseorang itu yang mempunyai kesedaran diri akan mengenali emosinya dan kesannya. Kesedaran diri terdapat beberapa cirinya. Antaranya ialah seseorang itu mempunyai strategi untuk mencapai cita-citanya. Hal ini demikian kerana seseorang itu sudah mengenali tabiat dan tabiat diri sendiri serta melihat kekurangannya. Seterusnya, seseorang itu akan memahami keperibadiannya dan dan sedar bahawa perkara-perkara yang sedang dilakukannya.
        Seseorang itu mempunyai kesedaran diri akan memberi keperihatian kepada persekitaran. Sebelum membuat keputusan, seseorang itu juga akan membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya tidak akan menimbulkan masalah yang akan menggangu kerjanya. Seseorang yang mempunyai kesedaran diri akan bersifat simpati dan sifat penyayang. Hal ini demikian kerana seseorang itu sedar bahawa sifat positif ini akan membawa hubungan yang baik dengan orang lain. Malahan, seseorang itu akan menerima kebenaran dan tidak menolak realiti yang pahit. Hal ini bermaksud seseorang yang mempunyai kesedaran diri akan menerima kritikan orang lain dan menerima segala dugaan yang dihadapinya serta bersabar untuk menempuhkanya.


KV MIRI
CIKGU SIEW
6 JULAI 2018

Ciri-ciri Sifat Positif

Seseorang mempunyai sifat positif akan mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Antaranya adalah bermatlamat besar dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Apabila seseorang itu mempunyai matlamat dan cita-cita yang ingin dikejar, dia akan berusaha gigih untuk mencapai cita-citanya. Apabila menghadapi masalah atau kekangan, seseorang itu tidak mudah berputus asa, malah dia akan berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kekangannya.
       Selain itu, seseorang yang bersifat positif akan mempunyai ciri belajar daripada kesilapan. Apabila seorang itu menghadapi kegagalan, dia tidak akan menyalahkan kekuranganya, malah akan berusah untuk memperbaiki kekurangannya diri supaya dapat melangkah dengan maju.
      Di samping itu, seseorang yang bersifat positif juga mempunyai sifat berfikiran terbuka. Apabila seseorang berfikiran terbuka, dia akan menerima idea orang lain dan juga menerima kritikan orang lain untuk meningkatkan kemahirannya. Seseorang itu akan mendengar dan menghormati pendapat atau pandangan orang lain terhadap diri sendiri atau sesuatu kerja.
       Bukan itu sahaja, seseorang yang bersifat positif akan mempunyai ciri pergaulan yang baik dengan orang lain. Seseorang itu mempunyai komunikasi yang berkesan dengan orang lain. Hal ini disebabkan seseorang itu menggunakan bahasa dan bahasa badan yang positif. Sifat ini amat menyenangkan orang yang bergaul dengannya.
      Seterusnya ialah ciri jujur, amanah dan bertanggungjawab. Seseorang bersifat positif akan bersikap jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasanya.  Seseorang itu juga akan mempunyai sifat toleransi yang tinggi terhadap orang lain dan suka menolong orang yang menghadapi kesusahan.      Kesimpulannya, seseorang mempunyai sifat positif  adalah beriman dan tawakal kepada Tuhan. Ciri-ciri ini menjadikan seseorang itu sentiasa berasa bersyukur, menikmati dan menghargai kehidupan yang seadanya. Apabila seseorang itu berasa syukur, dia tidak bersikap tamak dan memperoleh sesuatu dengan cara yang tidak betul.



KV MIRI
CIKGU SIEW
6 JULAI 2018

Wednesday, July 4, 2018

Tabiat Menolong

Dalam peribahasa Cina mengatakan bahawa, menolong seseorang merupakan satu perkara yang menggembirakan. Namun demikian, fenenoma pada hari ini yang boleh dilihat ialah : jika saya menolong anda, mesti ada balasannya. Jika tiada balasannya, saya tak nak tolong awak. Sebenarnya, balasan yang diberikan kerana orang lain menghargai pertolongan kita dan balasan ini bukannya satu perkara yang wajib.

Menolong orang merupakan satu sifat yang baik dan mendatangkan faedah yang banyak. Antaranya adalah dapat menggembirakan diri sendiri dan orang lain. Kita akan berasa gembira kerana melakukan satu kerja amal yang disukai oleh Tuhan. Hati kita akan berasa senang sepanjang hari kerana ucapan "Terima Kasih" daripada orang lain. Orang lain akan berasa gembira kerana ada orang menolongnya ketika dia berada dalam kesusahan dan tidak meminta balasan. Sekiranya semua orang mengamalkan pemikiran ini, masyarakat akan hidup dengan harmoni.

Selain itu, kita akan mendapat pertolongan orang lain sekiranya kita menolong orang lain semasa mereka dalam kesusahan. Hal ini demikian kerana kita akan menghadapi cabaran kehidupan yang memerlukan bantuan orang lain. Jika kita telah menolong orang yang berada dalam kesusahan dengan ikhlas, maka mereka akan ingat akan jasa baik kita. Apabila bergilir kita menghadapi kesusahan, kita akan mendapat pertolongan orang lain secara ikhlas juga. Maka, janganlah kita menolong orang lain demi balasannya tetapi secara ikhlas dan sukarela.

Ironinya, tabiat menolong merupakan satu amalan yang sangat baik. Saya menyarankan kepada semua orang supaya menolong orang secara ikhlas. Jika kita mendapat balasan seperti belanja makan, belanja menonton wayang atau mendapat barangan hiasan perhiasan, maknanya mereka menghargai pertolongan kita. Janganlah kita terfikir-fikir akan balasan yang diberikan oleh orang lain sekiranya menolong mereka kerana balasan baik akan dibalas oleh Tuhan nanti. Jadilah seorang insan yang bermoral tinggi, menolong orang secara ikhlas, dan menghargai pertolongan orang lain dengan mengucapkan "Terima Kasih".




KV MIRI
CIKGU SIEW
5 JULAI 2018


AHAD

Pernahkah anda berfikir, bagaimanakah anda menggunakan masa hari Ahad dengan baik dan berkesan? Pernahkah anda menyesal kerana tidak mengg...